Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Kongsi artikel ni di FB

Sejak akhir-akhir ini, program ala skim cepat kaya telah kembali menghantui semula masyarakat Malaysia terutamanya kepada Kaum Melayu.

Terbaru, adalah 3 buah syarikat yang diserbu oleh Bank Negara Malaysia kerana syarikat-syarikat terbabit telah mengambil deposit tanpa lesen.

Yang menyedihkan saya ialah, beberapa ahli keluarga saya juga terlibat sama dengan program yang seperti ini. Mak, abah, abang dan 2 orang adik saya telah melaburkan beribu-ribu wang simpanan mereka di sebuah syarikat yang digelar BuluhMas.

Pada mulanya, ada juga mereka dapat beberapa ratus ringgit hasil daripada pelaburan yang telah dibuat. Tetapi setelah syarikat BuluhMas diserbu, maka hasil pun sudah tiada lagi. Malah apabila ditanya, bagaimana dengan ribuan ringgit yang telah dilaburkan? Maka jawapannya adalah amat mengecewakan… DUIT PELABURAN LESAP TIDAK AKAN KEMBALI!

Dahulunya BuluhMas dianggap dapat membekalkan EMAS…tapi kini MIANG yang dapat. Aduhai kesian sekali mak, abah, abang dan adik-adik saya. Sudah payah diorang simpan duit bertahun-tahun, tup-tup hilang macam tu jer. Nasib baik diorang tak melabur semua sekali. Kalau tak, gigit kuku jer lah.

Justeru, supaya kita semua tidak tertipu lagi dengan program-program ala skim cepat kaya seperti ini, maka saya kongsikan maklumat yang saya ada bagi dijadikan panduan bersama.

Sumber maklumat ini didapati dari Bank Negara Malaysia bagi mengingatkan orang ramai mengenai skim cepat kaya yang mengambil deposit secara haram tanpa lesen.

Apakah maksud ‘deposit’?
Dalam konteks skim cepat kaya, deposit boleh dijelaskan seperti berikut ;

  1. Sejumlah wang diberikan kepada penganjur skim tersebut yang mungkin adalah sebuah syarikat, perkongsian, perniagaan tunggal atau seorang individu.
  2. Penganjur menjanjikan kadar faedah, pulangan atau keuntungan yang tinggi atas setiap deposit dalam jangka masa yang pendek. Ada juga skim yang memberikan pelbagai bentuk ganjaran kepada pra pendepositnya.
  3. Mengikut terma-terma skim tersebut, deposit dan keuntungan akan diberi balik kepada pendeposit pada satu tarikh yang ditetapkan. Tarikh ini boleh ditetapkan oleh penganjur skim atau dipersetujui bersama antara pendeposit dan penganjur skim. Ada kalanya pendeposit boleh menuntut pulangan mereka sebelum tarikh yang ditetapkan.
  4. Deposit tersebut juga boleh dibayar dalam bentuk wang tunang atau dalam bentuk ganjaran lain seperti dalam bentuk logam berharga, batu berharga, barangan kemas, barangan letrik atau kereta.

Apakah ciri-ciri pengambilan deposit secara haram?

  1.  Penganjur tidak mempunyai lesen sah untuk mengumpul deposit.
  2. Penganjur menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek. Pulangan ini selalunya lebih tinggi daripada faedah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan.
  3. Selain daripada wang tunai, sebahagian daripada pulangan boleh dibayar dalam bentuk ganjaran lain seperti dalam bentuk kupon, barangan, barang kemas atau barangan letrik.

Apakah institusi-institusi yang dibenarkan mengambil deposit?
Hanya institusi-institusi yang dilesenkan dan beberapa institusi yang dibenarkan boleh menerima deposit daripada orang ramai. Contohnya ialah ;

  • Bank-bank perdagangan
  • Syarikat-syarikat kewangan
  • Lain-lain institusi (Institusi yang dibenarkan seperti Bank-bank saudagar, syarikat-syarikat diskaun, bank Kerjasama Rakyat, Bank Pertanian Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Lembaga Tabung Haji, Koperasi-koperasi berdaftar dan institusi lain yang diberi kuasa dibawah undang-undang untuk menerima deposit)

*Nota : JIka anda mempunyai sebarang keraguan sama ada sesuatu institusi itu dibenarkan mengambil deposit atau tidak, sila hubungi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan pengesahan.

Artikel lain yang best :