Saya tujukan artikel ini khusus buat para suami dan para isteri di luar sana. Baca, hayati, fahami dan amalkan lah apa yang tertulis dalam tulisan ini. Semoga kalian dan kita semua beroleh bahagia, dunia dan akhirat.
SELAMATKAN DIA DARI NERAKA!
“Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”
Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ustaz sewaktu memberi kuliah di sebuah masjid di Putrajaya baru-baru ini. Selepas itu beliau terus membacakan hadis yang menjadi sandaran hujahnya itu dengan begitu lancar dan fasih.
Pada hari esoknya, saya menyemak hadis itu dengan bantuan seseorang yang sangat saya hormati kepakarannya. Beliau dengan segera memberikan nombor rujukan hadis itu dan sumbernya.
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’
“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki kekurangan akal dan agama yang dapat menghilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’
“Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’
“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agamanya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298)
Oleh sebab itu, setiap suami yang mencintai isterinya pasti berasa bimbang dengan amaran dan peringatan daripada hadis ini. Betapa tidak, tegakah kita melihat isteri yang tersayang terhumban ke dalam neraka hanya kerana lidahnya yang memaki hamun dan hatinya yang tidak bersyukur? Cakap suami dilawannya, dibentak dengan suara yang tinggi. Mulutnya begitu berbisa, tajam dan menyakitkan.
Isteri yang sedemikian perlukan bantuan. Dia sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga. Isteri begini terlupa bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram dia wajib taat. Dia terlupa membesarkan pemberian suami yang kecil. Dia sudah tidak ingatkan lagi bahawa jalannya menuju ke syurga adalah melalui pintu gerbang ketaatannya kepada suami. Malu, taat, setia dan khidmatnya hanya untuk manusia bernama suami.















