Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta“. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda.
Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.
Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati Hari Valentine (kelahiran paderi ‘ St. Valentino ‘ ) daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW.
Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT?
Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

I Love Rasulullah SAW
BIODATA ASAS RASULULLAH SAW
- Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
- Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
- Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
- Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
- Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
- Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
- Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
- Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).
USIA 5 TAHUN
- Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN
- Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
- Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.














