Saya ingin mengajak anda semua untuk membaca kisah benar di bawah ini. Anda baca dan cuba fahami apakah pengajaran yang dapat diambil dari kisah ini?
Kisah segelas susu yang penuh pengajaran
Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.
Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.
Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.
Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.
Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.
“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.
Jawab budak perempuan itu, “Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan”















