Kisah ini telah di forward kepada saya oleh Saudara Azmi Yaakub (azmiyaakub@yahoo.com) untuk renungan kita bersama.
Terharu, sayu dan hiba saya apabila membaca kisah ini.
Pengajaran daripada Sang Monyet
Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di depan sana ,saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.
Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.
Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?
Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya!
Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya, nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.
Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hampir saja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet.
Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi.
Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.
















