PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya,
telah terkalung pingat “Ibu Mithali”. Tangan kanannya menggenggam erat
satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.
“Sekarang …,” suara pengacara majlis bergema kembali, “Tibalah kita
kepada penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir. Penerima ini agak
lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan
Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk
tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. ”

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat
itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis
berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.
Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik
ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang
kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka
dijemput?
Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai
sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.
Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang
penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.
‘Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang
akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang
menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.’














