Hari ini, kalau kita buka surat khabar dan majalah, kita akan dapati, banyak sekali kisah keluarga yang bermasalah dan kucar-kacir di paparkan. Mengapa institusi kekeluargaan menjadi begitu rapuh dan goyah?
Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang satu masalah yang timbul dalam sebuah keluarga antara seorang anak dengan bapanya. Marilah kita baca dan ambil pengajaran daripada kisah benar yang berlaku ini.
Stress dengan ayah, apa patut saya buat??
Assalamualaikum Ustaz.
Saya memerlukan nasihat dan panduan daripada ustaz berkenaan dengan masalah yang saya hadapi sekarang.
Saya sebenarnya mengalami masalah keluarga sejak sekian lamanya. Dah hampir semua ikhtiar yang saya buat menemui jalan buntu. Ia langsung tak dapat merungkai masalah yang saya hadapi. Jadi saya sangat memerlukan nasihat dari ustaz.
Ustaz,
Saya mempunyai seorang ayah yang selalu saja berfikir bahawa pendapatnya saja yang betul. Walaupun dia banyak buat kesilapan, dia tak akan mengaku salah. Kalau dia mengaku sekalipun, dia akan cakap, dia tahu apa yang dia lakukan, dia nampak segala-galanya yang kita semua tak nampak, kami anak-anak dan isterinya cuai tentang ajaran agama, dan pelbagai lagi alasan akan diberikan.Dia sentiasa bersyarah agama apabila memarahi ibu dan anak-anaknya padahal, sebagai seorang ayah, dia juga lalai dalam melakukan sesetengah amalan agama.
Dia selalu mengatakan yang anak-anak dan ibu selalu membelakangkan dia dan selalu menggunakan sejarah Nabi Nuh apabila memarahi kami. Tetapi sejak kecil, bapa saya tidak pernah memberi perhatian atau perangsang kepada kami, malah selalu marah-marah kami.
Apabila dia berbual tentang agama, dia akan selalu menegaskan bahawa dia memang saja yang betul dan bercakap benar. Kami langsung tidak boleh menyuarakan pendapat kami. Ibu saya selalu jadi mangsa marah nya.
Dia juga selalu mengaku bahawa dia seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama, tetapi pergaulan antara dia dan adik ipar nya (adik kepada ibu saya) seperti tak ada batas pula. Dia gemar sekali menggunakan perhiasan dan rantai dan lain2. Mak cik saya tinggal serumah dengan kami. Bapa saya akan menyebelahi mak cik dan kawan mak cik saya, walaupun apa pun kesilapan yang mereka lakukan.
Macam-macam lagi lah ustaz. Dah tak larat dah saya nak mengadu.
Adik-beradik saya terlalu stress dan tertekan dengan perkara ini sehingga kami semua tidak tahu apa lagi yang kami hendak lakukan. Namun, saya tidak putus berdoa agar semua masalah ini akan berakhir dan dapat diselesaikan. Kadang-kadang, saya sampai terfikir nak duduk berasingan menyewa di flet.
Saya betul-betul buntu apa lagi yang patut saya lakukan bagi mengubah keadaan ini. Harap dapat nasihat dan panduan dari ustaz. Terima kasih.















