Redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa kita. Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susah lah hidup kita. Bukan hanya di dunia jer tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti.
Jadi, saya menyeru kepada anda semua agar taati dan jaga lah kedua ibu bapa anda sebaik mungkin. Sementara mereka masih hidup ini, cubalah berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.
Sebenarnya banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata malah, ianya merangkumi elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh setiap insan bernama ANAK. Apatah lagi jika ibu bapa anda semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Berikut ini saya kongsikan 10 bakti @ kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda:
- (1.) Menghulurkan bantuan kewangan @ material
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
- (2.) Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
- (3.) Memberi kasih sayang
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud:
Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil. (Surah al-Isra, ayat 24)





















