Muhasabah Ramadhan

Share

Alhamdulillah, kita telah sampai hari yang ke-13 berpuasa. Bagaimana dengan puasa anda semua? Bagaimana dengan amalan dan ibadah? Baca quran dah sampai mana? Solat tararwikh ada tinggal dak?

Saya hanya memohon kekuatan dari Allah berkat doa anda semua untuk mampu menjalani bulan Ramadhan ini semakin baik dari hari ke hari insyaAllah, amin.

Dalam entri kali ini, mari kita hayati artikel tulisan Ustaz Pahrol (genta-rasa.com) ini.

MUHASABAH RAMADAN


Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.

“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.
Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.

“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”

“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.
“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.

Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu.

Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib. Angah pula akan terlepas berbuka dengan makanan kegemarannya – mee goreng mamak, tahu sumbat dan makanan yang pedas-pedas kegemarannya.

Makan di masjid, menurut sahaja resipi yang disediakan. Begitu juga anak-anak yang lain, ada sahaja yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan pelaksanaan program sebelum maghrib hingga selesai solat terawih di rumah Allah.

“Awak masih ingat waktu kita mula berubah… daripada berbuka dengan makan nasi kepada berbuka hanya dengan air dan kurma?”

Isteri tersenyum. Sudah lapan tahun tradisi berbuka dengan kurma dan air kami pertahankan. Mulanya susah juga, tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan. Perlahan-perlahan semuanya sudah terbiasa.

“Saya penat hanya mengubah rutin-rutin lahiriah…” keluh isteri.
“Awak rasa macam mana?”

“Saya nak sesuatu yang lebih berkesan… perubahan dalaman. Usia kita semakin senja, takut kita pergi tanpa mencapai tujuan.”

Saya akur. Kebimbangannya kebimbangan saya juga. Apakah puasa kita mencapai tujuan – bertakwa?

“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”

“Apakah puasa kita telah mencapai takwa?”

“Lihat sahaja tanda-tanda orang bertakwa, apakah sudah ada pada diri kita?”

Sampai di situ, isteri saya terdiam. Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.

“Orang bertakwa… mengawal marah.”
“Orang bertakwa… memberi dalam susah dan senang.”
“Orang bertakwa … jika terlanjur melakukan dosa, segera mengingati Allah dan bertaubat kepada-Nya.”
“Orang bertakwa… seorang yang pemaaf.”

Pengertian itu saya sebut berulang-ulang. Mengulang-ulang apa yang telah Allah tegaskan di dalam Al Quran.

Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.

“Perubahan dalaman ni kita mulakan dalam diri masing-masing. Kita hanya boleh pesan memesan sahaja.”

Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya.

Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?

Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?

“Buat apa tu bang?” tegur isteri, memintas lamunan saya.
“Tak, bila awak sebut-sebut tentang hal-hal dalaman tu, memaksa saya merenung dalam-dalam.”

Di luar bilik, anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam kami berdua seakan-akan menangisi Ramadhan kami yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?

PADA RAMADAN INI…

Ramadan ini akan pergi
Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya

(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)

Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri

(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)

Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)

. (499)

Artikel-artikel lain yang menarik :

Share

One thought on “Muhasabah Ramadhan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam