Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Kongsi artikel ni di FB

Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda berkenaan dengan 1 masalah rumahtangga yang sangat penting untuk kita ambil pengajaran daripadanya. Saya banyak sekali menerima aduan tentang permasalahan begini melalui email. Saya kadang-kadang risau memikirkannya. Apa sudah jadi dengan kehidupan berumahtangga rakyat Malaysia sekarang?? Mengapa masalah-masalah sebegini begitu banyak terjadi? Apa yang tidak kena?? Adakah ini semua adalah ujian atau bala daripada Allah? Sama-samalah kita baca dan hayati masalah yang saya kongsikan di bawah ini.

Ustaz,
Sedang saya mencoret kemusykilan hati saya, air mata saya tidak berhenti berlinangan sambil membisik kata-kata Istighfar berulangkali didalam hati. Ustaz, saya berusia 2o an dan suami saya 30 an. Saya amat menyayangi dirinya kerana disebabkan dia saya telah banyak berubah dari seorang yang keras hati & pemarah kepada seorang yang penyabar. Beliau juga telah menyelamatkan saya dari terus hanyut dengan masalah sosial yang asalnya berpunca dari masalah keluarga. Kini saya semakin matang dan bisa menilai intan permata. Hubungan saya dan orang tua saya semakin baik dan alhamdulillah, saya berubah.

Usia perkahwinan kami baru menjejaki 3thn dan kami belum dikurniai zuriat. Persoalan yang membuat jiwa saya hiba ialah semenjak 2thn ini, saya merasakan seperti tidak diberi kecukupan nafkah batin. Walaupun telah kerap kali saya membincangkan masalah ini, setiapkali itu jugalah dia berjanji akan cuba mengubah dirinya namun beliau tetap sama dan tiada perubahan. Saya masih bersabar, Ustaz. Saya fikir pasti akan ada jalan penyelesaiannya suatu hari nanti. Namun, hari berganti hari bulan berganti bulan dan tahun demi tahun saya tidak nampak sekalipun bahawa dia cuba berusaha untuk memperbaiki masalah kami.

Ustaz, saya merasa terlalu malu untuk meluahkan masalah ini kepada insan-insan terdekat ibarat ‘Membuka Pekung’ diri sendiri. Suami saya seorang yang tidak gemar berkomunikasi atau memberi perhatian pada saya. Saya amat memahami dirinya jika dia terlalu letih dengan pekerjaannya. Tetapi didalam sebulan, takkan tidak ada suatu waktu pun untuk dia dapat membelai saya, mendakap saya atau mengucupi saya. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri mengekalkan hubungan yang intim terhadap isteri-isterinya, apakan kami yang hanya manusia biasa ini? Saya amat memerlukan dirinya disisi saya.

Ustaz, biarpun seharian kami bertemu diwaktu malam setelah penat berkerja, bagi saya jiwanya dan dirinya tidak bersama saya. Terlalu banyak kali, saya cuba membuat langkah pertama seperti mendakapnya tetapi saya diusirnya dengan alasan rimas dan panas. Betapa saya amat tersinggung dengan sikapnya itu. Apakah hak saya sebagai seorang isteri disisinya? Tiada pernah kata-kata manja atau cinta yang keluar dari bibirnya. Jiwa saya begitu sebak sekali hingga ke saat saya mencoret emel ini air mata saya terus bertitisan.

Kerana berkali-kali menanggung & memendam kekecewaan, saya selalu terfikir untuk mencari seorang teman lelaki lain buat pengganti dirinya yang terlalu tidak mempedulikan saya. Namun saya akan beristighfar dan berusaha sedaya upaya untuk mengingatkan diri ini bahawa dengan perbuatan itu tidak mendatangkan apa-apa penyelesaian malahan ia hanya mendatangkan dosa yang amat besar serta fitnah yang buruk sekali.

Ustaz, saya tidak tahu lagi dengan siapa harus saya mengadu. Saya sudah putus akal untuk bagaimana lagi memperbaiki hubungan kami. Pada beliau kini, saya telah menerimanya seadanya maka sedikit pun didalam hati beliau tidak pernah merasa bersalah akan sikapnya itu. Teguran-teguran yang pernah saya ajukan kepadanya dulu meskipun secara kasar atau lembut hanya ‘Menuang air didalam daun keladi’. Saya sudah pun berhenti menegurnya. Dia masih kekal begitu…

~Hamba yang dhaif~

=================================================

JAWAPAN

Saudari,

1. Saya dapat merasakan isu yang anda hadapi ini sungguh berat sehingga ianya begitu begitu menghiris perasaan. Pastinya ia merupakan satu perkara yang tidak mudah untuk dikongsi kerana ia sungguh peribadi walaupun hanya melalui emel.

2. Namun tindakan yang dilakukan untuk mendapatkan bantuan ini merupakan satu usaha yang betul bagi mengatasi isu yang anda hadapi sekarang ini.

3. Berdasarkan emel saudari ini, saya membuat kesimpulan maksud ‘tiada kecukupan nafkah batin’ merupakan tiada hubungan seks yang aktif antara anda berdua dalam jangkamasa dua tahun. Jika adapun ia merupakan satu perkara yang sangat minimal. Betulkan saya jika saya silap dalam hal ini.

4. Isu utama di sini ialah suami bersikap dingin terhadap seorang isteri, bukan sahaja tidak mesra tetapi juga tidak memberikan nafkah batin. Bagi mengatasi hal ini, sebenarnya perkara pertama yang perlu diketahui ialah sebab utama di sebalik mengapa si suami tiba-tiba selepas setahun bernikah terus bersikap dingin? Selepas dikenalpasti barulah ianya dapat dibantu.

5. Berkemungkinan suami saudari mempunyai isu yang hanya dipendam sendiri sehingga membuatkan mood beliau melakukan hubungan terjejas dengan teruk. Ini memandangkan jika tiada sebab yang utama, amat jarang sekali seseorang suami akan bersikap demikian lebih-lebih lagi rumahtangga anda baru berusia 3 tahun.

6. Perlu diakui, jika perkara ini tidak dapat ditangani segera maka secara tidak langsung ia boleh menggugat keimanan seorang isteri jika kita kita tidak berhati-hati (anda sendiri sudah mengakuinya).

7. Ini memandangkan pernikahan merupakan satu jalan keluar untuk seseorang Muslim atau Muslimah melepaskan nafsu syahwat mereka secara halal seterusnya mengelakkan diri dari kancah maksiat. Jika perkara ini (seks) tidak dapat dilakukan maka ia pastinya merosakkan matlamat di sebalik pernikahan pasangan tersebut.

Suka saya cadangkan beberapa perkara berikut untuk dilakukan segera:

  • Pertama: Perlu bersikap berterus terang

Cuba sedaya upaya untuk memilih masa yang sesuai bagi membincangkan perkara ini. Sebaik-baiknya ketika suami sudah cukup rehat. Elakkan sama sekali membincangkannya ketika suami baru pulang dari bekerja. Anda perlu bersemuka dengan suami bagi menjelaskan tekanan perasaan yang dialami dan kesan di sebalik sikap dingin suami.

Melalui perbincangan ini diharapkan kedua-duanya dapat meluahkan segala ketidak puasan hati masing-masing, namun sebelum melangkah lebih jauh dalam perbincangan, anda berdua perlu mendapatkan persetujuan bersama bahawa keadaan rumahtangga yang dialami sekarang adalah tidak sihat dan perlukan jalan keluar bagi memperbaiki keadaan.

  • Kedua: Bercuti

Mungkin anda suami isteri boleh fikirkan pelan rancangan bercuti ke luar negara, Mungkin lokasi yang jauh dari hiruk pikuk kota dan tempat yang dapat membuatkan suami melupakan hal pekerjaan dapat difikirkan dengan serius.

Secara tidak langsung dengan mood dan suasana yang tenang, mungkin boleh merubah keadaan menjadi lebih baik.

melancong menhangatkan hubungan

melancong menhangatkan hubungan

  • Ketiga: Dapatkan bantuan Kaunselor

Jika suami bersetuju bahawa keadaan rumahtangga adalah kritikal dan dalam keadaan yang tidak sempurna, cuba sarankan kepada suami untuk rujukkan kepada kaunselor bagi bantuan untuk memperbaiki keadaan rumahtangga anda.

  • Keempat: Rujuk ke Mahkamah Shariah

Andai kata langkah-langkah di atas tidak dapat dilakukan dan keadaan suami tetap seperti dulu. Sebagai jalan terakhir, anda perlu merujukkan ke Mahkamah Shariah bagi mengadu perihal suami yang tidak menjalankan kewajipannya, melalui cara ini sekurang-sekurangnya mereka akan ‘summon’ anda berdua untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Saya amat berharap agar anda dapat bertahan dan cuba lakukan langkah2 di atas. Perkara keempat perlu ditimbangkan dengan serius memandangkan keadaan rumahtangga anda yang tidak memenuhi keperluan perkahwinan.

Kadang kala perceraian merupakan satu jalan keluar bagi kedua-dua pihak memulakan hidup yang baru. Lebih-lebih lagi jika perkahwinan tersebut tidak dapat memenuhi keperluan pernikahan seperti hubungan seks antara suami isteri, malah jika diteruskan perkahwinan ditakuti lebih membawa kemudaratan kepada pasangan suami isteri tersebut.

Seperkara lagi, jangan sekali-kali mengadukan isu rumahtangga anda ini kepada mana-mana lelaki (bukan mahram) sama ada yang sudah berumahtangga ataupun tidak kecuali kepada pakar seperti kaunselor. Ini berdasarkan pengalaman saya ianya boleh menyebabkan kepada perkara-perkara yang tidak diingini dan ditakuti diambil kesempatan oleh lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab atas nama simpati.

Dekatkanlah diri pada Allah agar anda diberikan kekuatan dalam mengharungi saat-saat yang sukar begini. Perbanyakanlah solat dan doa agar diberikan pertolongan dan diperteguhkan keimananan anda.

Wassalam.

Diterima melalui email daripada Tok Faqeh (tokfakeh@gmail.com)

Saya minta maaf kepada semua pembaca kerana sekarang ini saya jarang sekali membalas komen2 yang anda semua berikan. Saya sedang menyiapkan beberapa projek sekarang ini. Banyak masa saya dihabiskan untuk menyiapkan tugasan-tugasan lain. Justeru, saya tidak berkesempatan membalas segala komen-komen anda. Namun begitu, saya rasa, salah seorang krew blog pakar iaitu Cik Suri, selalu juga membalas komen. Harap anda semua dapat meninggalkan sepatah dua komen bagi memeriahkan blog ini. Terima kasih.

Artikel lain yang best-best :