Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Email Artikel Ini Kepada Kawan2 Kongsi artikel ni di FB

Hari ini, kalau kita buka surat khabar dan majalah, kita akan dapati, banyak sekali kisah keluarga yang bermasalah dan kucar-kacir di paparkan. Mengapa institusi kekeluargaan menjadi begitu rapuh dan goyah?

Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang satu masalah yang timbul dalam sebuah keluarga antara seorang anak dengan bapanya. Marilah kita baca dan ambil pengajaran daripada kisah benar yang berlaku ini.

Stress dengan ayah, apa patut saya buat??

Assalamualaikum Ustaz.

Saya memerlukan nasihat dan panduan daripada ustaz berkenaan dengan masalah yang saya hadapi sekarang.

Saya sebenarnya mengalami masalah keluarga sejak sekian lamanya. Dah hampir semua ikhtiar yang saya buat menemui jalan buntu. Ia langsung tak dapat merungkai masalah yang saya hadapi. Jadi saya sangat memerlukan nasihat dari ustaz.

Ustaz,
Saya mempunyai seorang ayah yang selalu saja berfikir bahawa pendapatnya saja yang betul. Walaupun dia banyak buat kesilapan, dia tak akan mengaku salah. Kalau dia mengaku sekalipun, dia akan cakap, dia tahu apa yang dia lakukan, dia nampak segala-galanya yang kita semua tak nampak, kami anak-anak dan isterinya cuai tentang ajaran agama, dan pelbagai lagi alasan akan diberikan.

Dia sentiasa bersyarah agama apabila memarahi ibu dan anak-anaknya padahal, sebagai seorang ayah, dia juga lalai dalam melakukan sesetengah amalan agama.

Dia selalu mengatakan yang anak-anak dan ibu selalu membelakangkan dia dan selalu menggunakan sejarah Nabi Nuh apabila memarahi kami. Tetapi sejak kecil, bapa saya tidak pernah memberi perhatian atau perangsang kepada kami, malah selalu marah-marah kami.

Apabila dia berbual tentang agama, dia akan selalu menegaskan bahawa dia memang saja yang betul dan bercakap benar. Kami langsung tidak boleh menyuarakan pendapat kami. Ibu saya selalu jadi mangsa marah nya.

Dia juga selalu mengaku bahawa dia seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama, tetapi pergaulan antara dia dan adik ipar nya (adik kepada ibu saya) seperti tak ada batas pula. Dia gemar sekali menggunakan perhiasan dan rantai dan lain2. Mak cik saya tinggal serumah dengan kami. Bapa saya akan menyebelahi mak cik dan kawan mak cik saya, walaupun apa pun kesilapan yang mereka lakukan.

Macam-macam lagi lah ustaz. Dah tak larat dah saya nak mengadu.

Adik-beradik saya terlalu stress dan tertekan dengan perkara ini sehingga kami semua tidak tahu apa lagi yang kami hendak lakukan. Namun, saya tidak putus berdoa agar semua masalah ini akan berakhir dan dapat diselesaikan. Kadang-kadang, saya sampai terfikir nak duduk berasingan menyewa di flet.

Saya betul-betul buntu apa lagi yang patut saya lakukan bagi mengubah keadaan ini. Harap dapat nasihat dan panduan dari ustaz. Terima kasih.

Jawapan

Saya dapat rasakan tekanan serta dugaan yang dihadapi oleh anda. Pastinya ia memerlukan orang yang berjiwa besar sahaja dapat mengharungi dugaan begini. Moga Allah senantiasa memberikan kekuatan pada diri anda untuk terus tabah dalam menghadapi saat-saat yang sukar begini.

Saya perhatikan kesemua luahan anda pada emel ini adalah bersangkutan dengan ayah. saya tidak mampu memberikan sebarang komen terhadap ayah anda, ini memandangkan kelakuan beliau adalah di luar kawalan kita. Tiada apa yang mampu anda lakukan kecuali hanya dengan berdoa agar Allah membuka hidayah pada dirinya untuk berubah.

Namun saya ada beberapa cadangan yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan penderitaan anda, antaranya:

1. Tanamkan dalam hati, ‘Dia ayah kita..’

Walau apa yang dilakukan oleh ayah, anda perlu sentiasa ingat bahawa dia adalah ayah kita. Apa sahaja dosa yang dilakukan adalah antara dirinya dengan Allah. Tidak seperti kesalahan seorang teman yang boleh kita nasihati, dalam hal ini kita perlu berhati-hati dalam memberi tindak balas terhadap kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh ayah, silap kelakuan seperti terkasar bahasa atau tertinggi suara adalah satu dosa pula bagi kita terhadap ibu bapa.

Dengan pemikiran atau ‘mindset’ seperti ini setidak-tidaknya akan mengurangkan sedikit rasa sakit hati atau geram pada ayah yang pastinya boleh menjejaskan pemikiran anda dan mengganggu diri dalam melakukan kerja-kerja dan tugasan seharian.

2. ‘Layankan sahaja Si Ayah’

Memandangkan sukar bagi kita menegur perbuatan si ayah, maka sebaiknya kita berdiam diri dan melayan sahaja karenah ayah. Ia boleh dilakukan dengan tidak menjawab apa atau membantah sebarang tindakan si ayah.

Ini memandangkan sebarang respon dan tindakbalas pastinya boleh membangkitkan kemarahan si ayah dan boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini dan mencetuskan perbalahan yang memanjang, di mana secara tidak langsung menjejaskan ‘mood’ semua ahli keluarga. Maka tidakkah lebih bijak untuk kita ‘layankan sahaja si ayah’? Di mana dengan tindakan kita ini suasana akan menjadi lebih tenang, tidak bertambah risiko kita berdosa tinggi suara pada bapa serta secara tidak langsung tidak membangkitkan lagi kemarahan si ayah.

Namun begitu bukan bermakna diam kita sebagai redha dengan segala kelakuan bapa. Kita tetap mampu mencegah segala kemungkaran dengan melahirkan rasa benci pada perbuatan si ayah. Inilah yang diajarkan oleh Rasulullah apabila berhadapan dengan seseorang yang tidak mampu kita tegur dengan kekuasaan atau nasihat.

3. Ingatkan diri supaya bersabar

Seperkara lagi yang dapat menenangkan kita daripada bertindak melulu dengan menjawab atau terbabit dalam siri berbalas-balas kata dengan ayah ialah dengan mengingatkan diri supaya bersabar. Ingatlah Allah senantiasa bersama dengan orang yang sabar. Hanya orang yang sabar sahaja dapat mengawal emosinya daripada kemarahan yang meluap-luap.

Mudah-mudahan dengan kita senantiasa mengingati diri untuk bersabar ini dapat menegah kita daripada terlibat dalam sesi pertengkaran bersama si ayah yang pastinya bakal mengeruhkan lagi keadaan.

4. Doa

Kekal dan teruskan berdoa kepada Allah agar ayah diberikan hidayah dan petunjuk. Itu sahajalah yang kita mampu lakukan. Mudah-mudahan satu hari ayah berubah.

doa untuk ibu bapa

Kesemua perkara di atas ini bolehlah cuba diamalkan dan dikongsi bersama dengan adik beradik yang lain dan sebaik-baiknya saling ingat mengingati pula antara satu sama lain agar keadaan tidak menjadi lebih buruk.

Saya juga ingin menggesa agar anda usah fikirkan atau teruskan rancangan untuk pindah rumah dan tinggal sendiri. Pastinya tindakan tersebut akan membuatkan ibu semakin bersedih. Setidak-tidaknya kehadiran anda dan adik-adik dapat memberikan kegembiraan pada ibu.

Saya pasti anda mempunyai semangat yang kuat untuk teruskan kehidupan bersama dengan keluarga dan menjadi contoh pada yang lain agar terus cekal meneruskan kehidupan dan menangani segala cabaran yang melanda.

Semoga anda terus diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Allah.

Wassalam.

Artikel lain yang best-best :